Wednesday, March 19, 2008

THE REAL REASON RADZI RESIGNING

Do you know why Radzi was resigning? Is his resignation a normal process of rejuvenation of the party or unable to work effectively anymore?

Read Basir Ahmad’s analysis…

KESALAHANNYA MENGENEPIKAN ARAHAN, MENGAIBKAN PM SANGAT BERAT

Radzi bukan ahli UMNO biasa, beliau adalah Setiausaha Agung. Setiausaha Agung adalah jawatan yang dilantik oleh Presiden. Sepatutnya Radzi adalah orang yang paling setia kepada Abdullah. Ini juga satu tamparan hebat kepada Abdullah yang kini turut menghadapi pelbagai cabaran berat dari pelbagai sudut

Mungkin ada yang terkejut mendengar berita Radzi meletakkan jawatan Setiausaha Agung UMNO dan BN. Namun jika kita mengikuti perkembangan dan pergolakan politik di Perlis sejak beberapa bulan sebelum PRU 2008, kita seharusnya dapat menghidu bahawa Radzi telah melakukan sesuatu yang melayakkan dirinya bukan sahaja disingkir daripada jawatan Setiausaha Agung UMNO, malah patut disingikir daripada parti.

Segalanya bermula apabila beliau secara terbuka mengumumkan bahawa Dato’ Seri Shahidan Kassim tidak layak menjadi Menteri Besar Perlis? Ia menjadi tajuk perbualan hangat kerana beliau berkedudukan Setiausaha Agung UMNO ketika itu. Orang beranggapan bahawa amat tidak patut beliau menyerang Shahidan secara terbuka kerana ia mengaibkan imej parti dan menggugat kestabilan UMNO di Perlis.

Radzi orang Perlis dan Shahidan juga orang Perlis. Barangkali Radzi marah kerana Shahidan tidak memberikan beliau layanan yang sepatutnya sebagai veteran dan Setiausaha Agung dalam parti. Ada juga yang mendakwa bahawa Radzi tidak puas hati kerana Shahidan tidak mengagihkan projek dengan adil ke kawasan Parlimen Kangar (kawasannya) dan kawasan Datuk Seri Azmi Khalid (Parlimen Padang Besar).

Pertikaian itu berleretan hingga ke hari terakhir menjelang penamaan calon PRU 2008. BN Perlis adalah yang terakhir mengumumkan senarai calon. Kesukaran berlaku kerana wujud dua kem – kem Shahhidan dan kem Radzi yang turut dianggotai oleh Azmi Khalid yang ketika itu juga berjawatan menteri pusat, sama seperti Radzi. Shahidan mengemukakan senarai calon dan dalam masa yang sama Radzi dan Azmi juga menyerahkan senarai mereka.

Akhirnya penyelesaian dicapai dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memutuskan ketiga-tiga tokoh politik Perlis itu menamakan calon-calon bagi tiga kawasan Parlimen di negeri itu. Shahidan memilih calon bagi kawasan Arau, manakala calon-calon bagi kawasan Kangar dan Padang Besar masing-masing dipilih oleh Radzi dan Azmi.

Tanpa diduga BN mencapai kemenangan besar di Perlis. Hanya satu kerusi DUN dimenangi Pas. Umum menganggap kemenangan besar itu adalah hasil kejayaan Shahidan yang telah berpolitik dengan betul bagi mempertahankan keutuhan UMNO dan BN Perlis ketika beliau sendiri sedang menghadapi serangan daripada kem Radzi/ Azmi.

Kemuncak pertikaian berlaku selepas pilihan raya semasa pelantikan Menteri Besar. Orang ramai menyangka Shahidan akan terus menjadi MB kerana beliau turut mendapat restu daripada Perdana Menteri, tetapi tidak semena-mena Raja Perlis memperkenan pelantikan Dato’ Mat Isa Sabu.

Mat Isa adalah bekas exco yang digugurkan daripada senarai calon PRU 2004, tetapi dipilih semula bertanding di kawasan DUN Bintong pada PRU 2008. Bintong terletak dalam kawasan Parlimen Kangar yang ahli Parlimennya ialah Radzi.

Ini bermakna nama beliau naik semula atas pilihan Radzi. Ini juga bererti bahawa Mat Isa adalah orang Radzi. Apabila nama beliau disyor menggantikan Shahidan dan diperkenan pula oleh Raja Perlis, jelaslah bahawa segala yang berlaku adalah permainan politik Radzi dan Azmi.

Raja Perlis turut dipengaruhi oleh kem Radzi/ Azmi kerana mereka berjaya meyakinkan baginda bahawa Mat Isa mendapat sokongan daripada sembilan ADUN baru. Kesembilan ADUN itu adalah orang Radzi/ Azmi kerana hampir kesemua mereka adalah wakil rakyat di kawasan Parlimen Kangar dan Padang Besar. Mereka telah dipilih untuk menjadi calon oleh Radzi dan Azmi.

Apabila Abdullah tidak melantik semula Radzi dan Azmi dalam kabinet barunya, ia adalah jelas satu hukuman terhadap mereka. Radzi dalam kabinet 2004 adalah Menteri Dalam Negeri dan Azmi Menteri Sumber dan Alam Sekitar.

Pengguguran mereka adalah mesej yang jelas bahawa Abdullah marah sangat dengan tindakan Radzi dan Azmi. Sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri beliau mempunyai hak untuk marah kerana apa yang berlaku telah memalukan dirinya. Beliau yang memilih semula Shahidan, tapi keputusannya diketepikan oelh Radzi dan Azmi yang menggunakan istana untuk menjatuhkan Shahidan.

Senang cakap, Radzi dan Azmi telah `menderhaka’ kepada ketua dengan memperalatkan raja Perlis untuk melantik orang lain menjadi MB .

Kini Shaidan tidak lagi menjadi MB Perlis, tapi dalam percaturan politik beliau masih menang walaupun tidak sepenuhnya kerana akhirnya Radzi telah memilih jalan untuk menghukum diri sendiri dengan meletakkan jawatan Setiausaha UMNO dan BN.

Sebenarnya, jika Radzi sendiri enggan meletakkan jawatan, kemungkinan Abdullah akan memecatnya. Sebelum Abdullah mengumumkan keputusan memecatnya, lebih baik dia sendiri mengundur diri secara sukarela.

Malah disebabkan kesalahan yang dilakukannya sangat berat iaitu menderhaka kepada ketua, UMNO layak mengkaji keanggotaan Radzi dalam parti. Setidak-tidaknya beliau patut dihadapkan ke hadapan Jawatankuasa Disiplin.

Radzi bukan ahli UMNO biasa, beliau adalah Setiausaha Agung. Setiausaha Agung adalah jawatan yang dilantik oleh Presiden. Sepatutnya Radzi adalah orang yang paling setia kepada Abdullah. Ini juga satu tamparan hebat kepada Abdullah yang kini turut menghadapi pelbagai cabaran berat dari pelbagai sudut.

Segalanya berpunca daripada keputusan PRU 2008. Ternyata tarikh 13 Februari yang Abdullah pilih untuk membubarkan Parlimen bukanlah angka yang membawa tuah baginya.

No comments:

Post a Comment