nuffnang

Thursday, April 5, 2012

ISU KEKURANGAN GURU SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN CINA (SJKC)

YAB TAN SRI MUHYIDDIN HJ. MOHD YASSIN, YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA MENGENAI ISU KEKURANGAN GURU SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN CINA (SJKC)

Jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran untuk menangani isu kekurangan guru di SJKC sebagaimana yang diputuskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri adalah bukti Kerajaan benar-benar komited dan serius dalam menyelesaikan isu tersebut dengan segera dan efektif.

Sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin, langkah-langkah sistematik, dasar yang seragam dan berterusan telah dan sedang pun diambil untuk menangani isu kekurangan guru di SJKC. Oleh itu saya berharap masyarakat Cina menyambut baik langkah-langkah jangka pendek dan jangka panjang yang telah diumumkan oleh jawatankuasa tersebut pada 20 Mac lalu kerana sekolah rendah jenis kebangsaan tidak pernah diasingkan daripada sistem pendidikan negara kita.

Langkah yang diambil ini juga bukan kerana tekanan yang dibuat oleh mana-mana pihak dan kesimpulan bahawa Kerajaan telah mengambil langkah tersebut hanya setelah tekanan dibuat oleh pihak-pihak tertentu adalah tidak benar.

Isu ini perlu diperjelaskan agar gambaran sebenar dapat diberikan untuk menangkis dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas terhadap Kerajaan dan KPM.

Dalam usaha memastikan proses pembelajaran dan pengajaran SJKC di seluruh Negara berjalan lancar setiap tahun KPM telah berusaha bersungguh-sungguh mengisi kekosongan guru-guru di SJKC.

Pada tahun 2009 terdapat kekurangan guru seramai 4,991, pada tahun berikutnya jumlah ini telah dikurangkan kepada 3,043, pada tahun 2011 jumlahnya menurun kepada 2,720 dan akirnya pada tahun ini kekurangan guru di SJKC adalah hanya seramai 1,874.

Daripada jumlah ini, KPM telah melantik sejumlah 1,482 guru interim untuk mengisi kekosongan tersebut. Baki kekurangan di SJKC hanyalah tinggal 392 orang yang mana Guru Besar SJKC diberi kebenaran mencadangkan calon guru interim untuk dilantik oleh Jabatan Pendidikan Negeri.

KPM telah memperuntukkan sejumlah 38,047 jawatan guru bagi SJKC. Sehingga 31 Januari 2012 seramai 36,173 guru terlatih telah ditempatkan di semua sekolah SJKC. Sebanyak RM1.8 bilion dibelanjakan setiap tahun untuk membayar gaji guru-guru dan operasi-operasi mengurus di SJKC di seluruh negara.

Pada masa ini terdapat 1,294 buah SJKC di seluruh negara. Dari 1,294 sekolah, sebanyak 455 adalah sekolah kurang murid (kurang 150 murid).

Saya menyeru kepada semua pihak supaya berhenti mempolitikkan isu-isu pendidikan Cina dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha meningkatkan kualiti dan kemajuan pendidikan di semua sekolah, sama ada sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan dengan tujuan menambah daya saing kita bagi menghadapi cabaran-cabaran yang akan datang.

Jawatankuasa khas yang diketuai YB Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong telah mengadakan perbincangan dengan persatuan-persatuan pendidik Cina dan pemegang amanah lain untuk menangani masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Cina. Ini telah menghasilkan pelan lapan perkara yang telah dipersetujui oleh kerajaan. Jawatankuasa ini telah empat kali bermesyuarat dengan pihak yang berkepentingan dan telah menerima segala input yang diberikan oleh semua pihak.

Mesyuarat tersebut telah diadakan pada: 5 Mac 2012 bersama-sama Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Bahagian Pendidikan Guru(BPG), Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan(SPP), Institut Pendidikan Guru Malaysia(IPGM), Bahagian Pengurusan Sekolah Harian(BPSH), Persatuan Guru Besar SJKC 8 Mac 2012, BPPDP, BPG, SPP, IPGM, BPSH, Persatuan Guru Besar SJKC , Dong zhong, Jiao Zhong, HuaZhong, dan National Union of the Teaching Profession (NUTP) 16 Mac 2012, BPPDP, BPG, SPP, IPGM, BPSH, Persatuan Guru Besar SJKC, Jiao Zhong, Hua Zhong, dan NUTP ( Dong Zhong- tidak hadir) 23 Mac 2012, BPPDP, BPG, SPP, IPGM, BPSH, Persatuan Guru Besar SJKC, JiaoZhong, HuaZhong, dan NUTP ( DongZhong- tidak hadir) 2 April 2012, BPPDP, BPG, SPP, IPGM, BPSH, Persatuan Guru Besar SJKC , JiaoZhong, HuaZhong, NUTP dan Dong Zhong.

Untuk memastikan keputusan Jawatankuasa itu dilaksanakan sepertimana yang dipersetujui, satu mesyuarat penyelarasan tindakan Susulan Jawatankuasa Khas Menangani Guru SJKC telah diadakan pada 27 Mac 2012 bersama-sama BPPDP, BPG, IPM, NUTP, dan BPSH (sebagai urusetia).

Untuk permasalahan kekosongan jawatan guru di SJKC
Bagi mengatasi masalah kekurangan guru, sebanyak 1,482 guru interim telah pun diagihkan kepada semua negeri, manakala baki 392 guru interim dibenarkan dilantik pada 1 April 2012 lalu.

Guru-guru interim ini akan berkhidmat sehingga pengisian oleh guru terlatih dapat dilaksanakan sepenuhnya dan tertakluk kepada kekosongan sebenar berdasarkan Anggaran Belanja Mengurus Perjawatan diluluskan. Pada 27 Mac 2012, KPM telah mengeluarkan surat perlanjutan perkhidmatan guru-guru interim di SJKC.

Bagi melaksanakan agenda tersebut, pihak guru besar SJKC boleh mencalonkan guru-guru yang memenuhi syarat dan pelantikan akan dilakukan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.

Untuk permasalahan guru pemulihan yang tidak mempunyai kelayakan dwibahasa Tentang permasalahan guru pemulihan yang tidak mempunyai kelayakan dwibahasa, Lembaga Pengelola SJKC berpendapat tindakan memindahkan 100 guru tersebut adalah wajar kerana guru-guru tersebut tidak boleh bertutur dan menulis menggunakan bahasa itu.

Pada mereka persoalannya adalah bagaimanakah guru-guru ini dapat berinteraksi dengan murid-murid pemulihan yang sudah tersedia lemah.

KPM telah membuat penyemakan terperinci di atas dakwaan lebih kurang 100 orang guru pemulihan tiada kelayakan bahasa Cina dan mendapati ada dalam kalangan guru-guru ini mempunyai kredit dalam Bahasa Cina.

Seramai tujuh orang guru didapati mempunyai kelayakan Bahasa Cina iaitu 2 orang di Melaka (SJKC Chabau dan SJKC Pay Hsien, 2 orang di Sarawak (SJKC Chung Hua, Sibuti dan SJKC Chun Hua Serian), seorang di Selangor (SJKC Hin Hua) dan 2 orang di Johor (SJKC Sengkang, Kulaijaya dan SJKC Ban Foo)

Oleh itu, KPM menetapkan guru-guru yang mempunyai kelayakan bahasa Cina akan terus kekal di sekolah tersebut sementara guru-guru lain akan ditempatkan semula ke sekolah kebangsaan mulai 16 April 2012 sebagaimana yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kekurangan Guru SJKC pada 2 April 2012.

Untuk permasalahan guru-guru opsyen kajian sosial yang tidak berkelayakan BC Seramai 17 orang guru Kajian Sosial dengan minor Bahasa Melayu telah ditempatkan di daerah Klang, Selangor.

Semakan dibuat oleh KPM mendapati seorang daripada mereka mempunyai kelayakan Bahasa Cina dan akan dikekalkan di sekolah sedia ada (SJK(C) Chung Hua).

Sementara itu, 16 orang guru ini akan dipindahkan ke sekolah Kebangsaan. Seorang guru Kajian Sosial yang ditempatkan di Melaka telah diganti dengan seorang guru pengajian Cina (SJKC Chabau) manakala seorang lagi guru di SJK(C) Chung Hwa, Subis. Semua guru ini akan dipindahkan berkuatkuasa pada 16 April 2012.

Untuk permasalahan kelayakan dwibahasa guru opsyen Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris Pengajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di Tahap 1 di SJKC Gred A dan B akan diajar oleh guru yang berkelayakan mengajar Bahasa Cina sekurang-kurangnya di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia .

Bagi Sekolah Kurang Murid pula , bagi tahap 1 dan 2 bagi pengajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris akan diajar oleh guru-guru yang berkelayakan Bahasa Cina sekurang-kurangnya peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Inisiatif Jangka panjang bagi menangani kekurangan guru SJKC
BPG dan IPGM sedang merangka Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO) untuk guru-guru bukan opsyen BM/BI dan mengajar mata pelajaran selain Bahasa Cina lebih dari 5 tahun. Kursus ini dijangka bermula selewat-lewatnya akhir tahun ini, supaya tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Kerajaan telah mengemukakan perancangan mengikut keperluan di SJKC dan mekanisme untuk melatih bukan sahaja guru-guru yang terlatih di dalam Bahasa Cina tetapi juga penambahan pensyarah-pensyarah Pengajian Cina.

Buat masa ini terdapat 72 pensyarah Pengajian Cina di IPG seluruh Malaysia. KPM telah bersetuju untuk mengambil 30 lagi pensyarah Pengajian Cina bagi mempertingkatkan kapasiti latihan guru. Permohonan untuk menjadi pensyarah di IPG, termasuk jawatan pensyarah Pengajian Cina telah dilaksanakan mulai 13 Mac hingga 30 Mac 2012.

Pada ketika ini pihak urusetia di IPGM KPM sedang memproses permohonan dan pengambilan akan dibuat pada 1 Jun 2012. Pengambilan pensyarah dilaksanakan secara berterusan.

Iklan untuk pengambilan pensyarah ini telah pun ditutup pada 30 Mac yang lalu. Sebagai langkah penambahan guru terlatih di SJKC, KPM juga telah menyemak dengan SPP dan mendapati dalam kalangan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam yang telah ditemuduga, terdapat seramai 105 orang yang mempunyai kelayakan BC di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Oleh itu, KPM telah bersetuju akan melantik mereka untuk berkhidmat di SJKC dalam tempoh yang terdekat.

Langkah-langkah yang diambil ini jelas menunjukkan keikhlasan kerajaan dalam menyelesaikan isu yang dianggap berlarutan oleh masyarakat Cina. Walaubagaimanapun, saya telah mengarahkan supaya Jawatankuasa ini terus mengadakan sesi perbincangan dan maklumbalas serta mengumpul input dengan kesemua pihak yang berkepentingan dan melihat semua pandangan yang diutarakan dengan mengambil kira semua aspek dan mencari jalan penyelesaian jika ada isu-isu lain yang diketengahkan.

No comments:

Nuffnang