Thursday, July 12, 2012

Pemeliharaan dan pengurusan hutan penting bagi menangani isu-isu global - Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Malaysia


Dato Sri Douglas Uggah Embas, Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Malaysia menyatakan pemeliharaan dan pengurusan hutan penting bagi menangani isu-isu global antaranya perubahan iklim, kebakaran hutan, pencemaran udara dan sungai sering kali dikaitkan dengan hutan. 

Ini menunjukkan bahawa bidang perhutanan memainkan peranan yang penting bukan sahaja dari aspek kepentingan ekonomi, malah turut menjadi nadi kepada kehidupan sosial masyarakat dan kepentingan kepada alam sekitar.
 
Teks ucapannya dibacakan oleh Dato' Dr. Mohd Ali B. Mohamad Nor,Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) seperti berikut:

Dato’ Prof. Dr. Hj. Abudul Rahman dan Dato' Dr. Mohd Ali (dari kiri)

Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan salam dan terima kasih daripada YB Dato Sri Douglas Uggah Embas, Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar kepada pihak penganjur di atas kesudian mengundang beliau di “Majlis Penyampaian Sijil Perhutanan Renjer Hutan Sesi 2010-2012 Dan Sijil Perhutanan Pengawas Hutan Sesi 2011-2012”. Yang Berhormat Menteri tidak dapat bersama-sama kita pada pagi ini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Untuk itu, izinkan saya menyampaikan ucapan bagi pihak Yang Berhormat Menteri.

                                                   Dato' Dr. Mohd. Ali memeriksa barisan Renjer
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) di atas kesudian mengundang saya untuk hadir di majlis ini dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada lepasan Sijil Perhutanan Renjer Hutan Sesi 2010-2012, dan lepasan Sijil Perhutanan Pengawas Hutan Sesi 2011-2012 serta melancarkan buku Dasar Latihan Sumber Manusia JPSM. 

                                                 Memberi tabik hormat kepada Dato' Dr. Mohd Ali
Ucapan syabas dan tahniah kepada semua pelatih yang telah berjaya menamatkan kursus-kursus ini. Saya juga ingin mengalu-alukan ahli-ahli keluarga para pelatih pada pagi ini kerana kehadiran Tuan-tuan dan Puan-puan begitu bermakna bagi semua pelatih yang akan menerima sijil sebentar lagi. 

                                                       Gambar pelatih yang tamat kursus

 Cabaran utama membangunkan modal insan ialah menyediakan latihan yang mampu mentransformasikan minda yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi bagi lepasan sijil perhutanan agar selari dengan hala tuju dasar negara. Perubahan minda yang ingin diterapkan sewajarnya menggalakkan pemikiran yang selari dengan aspirasi negara bagi menghasilkan nilai tambah dalam tugasan dan berkeupayaan menyediakan lepasan sijil yang mampu membudayakan nilai-nilai murni perkhidmatan awam amnya dan di Jabatan-jabatan Perhutanan khasnya.

                                                                 Upacara menanam pokok
Saya juga difahamkan bahawa para pelatih telah dididik untuk melaksanakan pelbagai kerja dalam satu masa (multi-tasking), selain menyemai sikap bertanggungjawab dan cintakan alam sekitar bodiversiti hutan. Proses latihan yang dikendalikan oleh JPSM ini bukan sekadar untuk mendapat kelulusan tetapi bertujuan untuk mempersiapkan para pelatih sekalian agar sentiasa berilmu, berkemahiran, berintegriti dan berwawasan dalam apa jua bidang pekerjaan yang bakal diceburi di luar kelak. 

                                                    Upacara melepas ikan oleh Dato' Dr. Mohd Ali

Hadirin yang saya hormati sekalian, dewasa kini, isu-isu perhutanan dan alam sekitar menjadi tumpuan di media masa dan di forum-forum peringkat nasional dan antarabangsa. Isu-isu seperti perubahan iklim, kebakaran hutan, pencemaran udara dan sungai sering kali dikaitkan dengan hutan. Ini menunjukkan bahawa bidang perhutanan memainkan peranan yang penting bukan sahaja dari aspek kepentingan ekonomi, malah turut menjadi nadi kepada kehidupan sosial masyarakat dan kepentingan kepada alam sekitar. Tanggapan sesetengah pihak bahawa perhutanan adalah berkaitan dengan pengusahasilan kayu sahaja adalah tidak tepat kerana ianya menjangkaui lebih daripada itu. Cabaran-cabaran baru serta desakan globalisasi kini menuntut kita untuk menguasai ilmu- ilmu pengetahuan baru yang berkonsepkan “look beyond the tree”.

                  Melepaskan ikan oleh Dato' Dr. Mohd Ali dan Dato’ Prof. Dr. Hj. Abudul Rahman
Pemeliharaan dan pengurusan hutan penting bagi menangani isu-isu global ini. Usaha ini memerlukan kita memastikan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah Negara dilitupi hutan  dan pokok-pokok  seperti komitmen Malaysia yang dinyatakan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992 dan komitmen untuk mengurangkan intensiti karbon sehingga 40% menjelang tahun 2020 semasa Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim di Copenhagen pada tahun 2010.

Untuk menangani isu ini, Kementerian melalui jabatan  perhutanan telah mengambil beberapa langkah, antaranya Kempen Menanam 26 Juta Pokok. Dalam hal ini, jabatan perhutanan perlu bersikap proaktif dan bersedia dengan tindakan-tindakan pre-emptive  bagi menjayakan program-program bagi memastikan komitmen negara ini terpelihara. 

                                                                  Bermesra dengan Pegawai
Selain itu, pembangunan ekonomi negara juga tidak seharusnya terlalu bergantung kepada hasil pengeluaran dari hutan asli. Jabatan perhutanan perlu mencari inisiatif untuk meneroka peluang-peluang baru bagi menjana pertumbuhan ekonomi daripada sumber-sumber hutan yang lain seperti tumbuh-tumbuhan ubatan dan herba dan ekopelancongan. Penjanaan sumber kekayaan baru dari hutan melalui pendekatan yang lebih mesra alam akan memberi perlindungan berganda kepada usaha-usaha melindungi biodiversiti negara. 

                                                    Penyampaian sijil oleh Dato' Dr. Mohd Ali

Hadirin yang saya hormati sekalian, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) sentiasa mengambil berat dan menyokong usaha-usaha jabatan agensi di bawahnya dalam melaksanakan projek-projek pembangunan yang dilaksanakan termasuklah pembangunan sumber manusia dan modal insan. Saya difahamkan bahawa JPSM melalui Program Kerjasama ASEAN-Republik Korea telah menyedia dan menambahbaik dasar latihan sumber manusia, kurikulum latihan dan latihan bermatriks yang komprehensif merangkumi semua peringkat selaras dengan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. Semoga dasar latihan yang disediakan ini dapat memantap dan meningkatkan kepakaran dan kompetensi di kalangan warga jabatan.

Di majlis yang penuh bermakna ini, saya ingin menyeru setiap pelatih agar tidak mensia-siakan ilmu pengetahuan, kebolehan dan bakat yang telah diperolehi sepanjang tempoh berkursus di sini. Ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang ada perlulah diaplikasikan dengan rasa penuh tanggungjawab, berdisiplin dan berdedikasi bagi menghasilkan perkhidmatan yang cekap, cepat dan berkualiti tinggi.

Saya suka menyarankan kepada semua pelatih supaya menanamkan sikap ingin terus maju, seperti kata-kata Albert Einstein: “Intellectual growth should commence at birth and cease only at death” atau dalam bahasa Malaysia pembelajaran bermula sejak dari lahir sehingga mati.  Oleh yang demikian, amalkan segala ilmu yang telah dipelajari dan terus berusaha untuk mencapai kejayaan di masa hadapan. Ingatlah bahawa saudara-saudari sekalian menggalas peranan penting dan merupakan barisan hadapan yang diamanahkan bagi memelihara dan menjaga khazanah hutan negara yang amat tinggi nilainya.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua lulusan Sijil Perhutanan Renjer Hutan dan Pengawas Hutan yang Berjaya menamatkan Kursus Sijil Perhutanan Renjer Hutan Sesi 2010-2012 dan Kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan Sesi 2011-2012.

Akhir kata sekali lagi saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih di atas undangan ke majlis yang bersejarah ini. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Perhutanan Renjer Hutan Sesi 2010-2012, Sijil Perhutanan Pengawas Hutan Sesi 2011-2012 dan pelancaran buku Dasar Latihan Sumber Manusia JPSM. Sekian, terima kasih.
 


1 comment: