Who said Chan resign ? We should ask Sin Chew Daily editor in Chief in which published the news front-page. By the way,
MalaysiaAktif Bashir Ahmad told you who is him. Read more.....
Siapa kata Kong Choy letak jawatan? Kena tanya pengarang akhbar Sin Chew Jit Poh yang menyiarkan cerita Chan hendak meletakkan jawatan di muka depan pada 7 September lalu. Punca berita itu adalah orang yang mengidam mahu jadi Presiden MCA.
Bashir Ahmad
12 September 2007
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy kelihatan segar-bugar dan ceria di lapangan terbang KLIA sekembalinya daripada percutian dua minggu di Australia. Katanya, dia sihat dan akan kembali bekerja pada hari ini.
Ditanya tentang spekulasi beliau akan meletakkan jawatan, kata Chan:``Spekulasi ini bukan daripada saya dan saya tidak tahu siapa memulakannya.”
Siapa yang memulakannya kena tanya pengarang akhbar Sin Chew Jit Poh yang menyiarkan cerita Chan hendak meletakkan jawatan di muka depan pada 7 September lalu.
Sehari dua kemudian, wartawan bertanya kepada Perdana Menteri mengenai khabar angin tersebut. Kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Chan tidak pernah mengemukakan surat peletakan jawatan dan tidak pula membayangkannya.
Kata Abdullah, Chan mohon bercuti 12 hari kerana tidak sihat dan mahu mendapatkan rawatan di luar negara.
Macam mana boleh muncul cerita Chan mahu meletakkan jawatan? Menurut spekulasi, kononnya beliau mahu meletakkan jawatan kerana tidak tahan menghadapi pelbagai tekanan berhubung isu-isu berkaitan kementeriannya, termasuk isu kawasan perdagangan bebas Pelabuhan Klang.
Dalam politik, biasanya cerita buruk mengenai seseorang disebarkan oleh musuh-musuh politiknya. Apatah lagi cerita yang tidak benar. Ini adalah sebahagian daripada taktik memburukkan imej seseorang atau disebut dalam bahasa Inggeris “character assasination.”
Apatah lagi cerita mengenai Chan itu dikaitkan dengan isu-isu melibatkan Kementerian Pengangkutan. Isu-isu ini ditonjolkan dengan tujuan untuk menunjukkan bahawa Chan mempunyai cacat-cela dari segi kepimpinan.
Menurut kalangan yang rapat dengan MCA, spekulasi ini ada kaitan dengan perebutan kuasa peringkat tinggi parti itu. MCA telah meluluskan peraturan bahawa jawatan presiden hanya boleh dipegang oleh seseorang selama dua penggal. Selepas tempoh tersebut, jawatan itu akan secara automatik dipertandingkan.
Presiden MCA sekarang, Datuk Seri Ong Ka Ting akan tamat tempoh perkhidmatan pada 2011. Jika berdasarkan senioriti jawatan, tentulah Chan yang paling layak mengisi kekosongan kerana beliau sekarang adalah Timbalan Presiden MCA.
Ong dan Chan mengisi jawatan mereka sekarang atas sokongan Tun Ling Liong Sik yang melepaskan jawatan Presiden MCA kerana berlaku krisis kepimpinan antara beliau dengan timbalannya, Datuk Lim Ah Lek pada 2003. Sebagai jalan penyelesaian, Ling dan Lim bersetuju berundur bagi mengelakkan perpecahan dalam parti.
Bagi mengelakkan krisis seumpama berulang, Ong mengambil langkah lebih ke hadapan dengan mengusulkan jawatan Presiden MCA hanya boleh dipegang selama dua penggal. Perhimpunan MCA telah meluluskan usul tersebut.
Dengan adanya peraturan tersebut, tempoh perkhidmatan Ong akan berakhir pada 2011. Bagaimanapun MCA tidak menetapkan jawatan tersebut secara automatik akan diisi oleh Timbalan Presiden. Maka pertandingan akan berlaku jika ada orang lain yang merasakan dia lebih layak daripada Chan untuk menggantikan Ong.
Dan ternyata sudah ada orang yang berasa dia lebih layak daripada Chan untuk menggantikan Ong. Difahamkan orang inilah yang menjadi punca penyebaran cerita yang tidak molek tentang Chan, termasuk kononnya beliau akan meletakkan jawatan menteri.
Siapakah gerangan musuh Chan ini? Orang yang sedang bercita-cita menjadi Presiden MCA, jika bukan timbalan presiden tentulah di kalangan empat orang naib presiden.
Untuk meneka lebih tepat siapa di antara empat Naib Presiden MCA yang paling kuat bercita-cita untuk menggantikan Ong, kenalah bertanya Sin Chew dari manakah mereka mendapat maklumat kononnya Chan akan meletakkan jawatan menteri.
Jika maklumat itu tidak diberikan secara langsung oleh salah seorang Naib Presiden MCA , kemungkinan besar ia datang dari mulut orang yang rapat dengannya. Siasatlah siapa yang mempunyai pembantu dari kalangan bekas wartawan Sin Chew. Kebarangkalian besar orang itulah yang menjadi musuh politik nombor satu Chan Kong Choy sekarang.
Kembali kepada cerita Chan bercuti kerana sakit, ramai yang ingin tahu apa penyakit yang dihidapinya. Khabar angin yang disebarkan kononnya Chan `terkejut hingga hilang semangat’ kerana terlihat mayat mangsa nahas bas di Bukit Gantang akhir bulan lalu dalam keadaan yang sangat mengerikan.
Kononnya Chan terlihat mayat tersebut semasa beliau melawat mangsa-mangsa kemalangan di Hospital Taiping.
Sejauh mana kebenaran cerita ini hanya Chan sahaja boleh mengesahkannya. Jika cerita itu benar, nyatalah ia sengaja disebarkan oleh musuh politiknya untuk menunjukkan bahawa Chan tidak layak menjadi pemimpin kerana “tengok mayat pun dia sudah hilang semangat.”
Maka ada lagi satu spekulasi bersifat pertanyaan. Antara empat Naib Presiden MCA itu siapakah yang paling tahan semangat jika melihat mayat? Lihat latar belakang karier mereka, tidak sukar untuk meneka siapa orang berkenaan.