Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri telah memberi amaran kepada penulis blog supaya tidak keterlaluan dalam penulisan mereka. Nazri mengumumkan sudah sampai masa bagi Kerajaan mengisytiharkan perang terhadap penulis blog yang tidak bertanggungjawab telah menimbulkan pelbagai reaksi, antaranya :
1. Lidah pengarang Sin Chew Daily pada 26 Julai 2007 bertajuk “Berhati-hati Tangani Masalah Penulis Blog” berpendapat bahawa baru-baru ini, penulis blog, Nathaniel Tan ditahan polis, selepas itu, pemilik laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berikutan laporan polis yang dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada Isnin lalu terhadap laman webnya yang didakwa menyiarkan komen sensitif berhubung kedaulatan Yang di-Pertuan Agong, keagamaan dan perkauman.
Menurut lidah pengarang harian ini, seandainya Kerajaan meminda akta untuk menyekat penulis laman web dan blog, ia akan melanggar hasrat Kerajaan untuk menjayakan rancangan Koridor Raya Multimedia (MSC) dan memungkiri janjinya untuk memberi kebebasan kepada pembangunan media elektronik.
Sekiranya Kerajaan melonggarkan sekatan terhadap laporan media massa, pembaca mungkin berpuas hati dengan laporan akhbar dan tidak akan mempercayai sesetengah penulisan yang tidak tepat yang disiarkan di laman web.
Walau bagaimanapun, sekiranya pemilik dan penulis laman web mahu mempertahankan kebebasan menulis, mereka harus berdisiplinkan diri masing-masing, iaitu tidak menyiarkan kenyataan yang berunsur merangsang dan memburukkan seseorang tanpa bukti kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja menjejaskan kewibawaan penulis blog, malah menggangu-gugat perpaduan negara.
2. Sehubungan itu, lidah pengarang Nanyang Siang Pau yang bertajuk "Laman Blog dan Kebebasan Berucap” berpendapat, Kerajaan telah mengadakan undang-undang menyekat media cetak dan kebebasan akhbar telah terkawal. Kemunculan laman blog telah memberi kebebasan kepada pemilik untuk menyuarakan pandangan dan cadangan secara bebas dalam semua perkara. Ketika mengingatkan pemilik blog supaya berdisiplin, Kerajaan pula diminta bersikap terbuka dan menerima pandangan dan cadangan yang membina.
3. Sementara itu, lidah pengarang Oriental Daily News dalam artikel bertajuk “Cara Lama dan Minda Baru" pada 26 Julai 2007 berasa kesal terhadap tindakan Kerajaan yang ingin mengambil langkah keras terhadap pemilik blog. Pada zaman teknologi maklumat sekarang Kerajaan harus mempunyai minda baru terhadap media Internet dan laman blog.
Sekiranya Kerajaan masih menggunakan cara lama untuk mengawal media massa, nescaya lebih ramai pembaca akan lebih cenderung kepada laman blog untuk mendapatkan maklumat. Kerajaan digesa memberi kebebasan kepada laporan media massa utama supaya pembaca lebih percaya kepada laporan media arus perdana. Keadaan sekarang menggambarkan cara lama tidak mampu menangani wujudnya media baru dan minda baru.
4. Penulis akhbar Sin Chew Daily, Ong Kee Hua dalam artikelnya bertajuk “Penulis Blog Harus Disiplinkan Diri” berpendapat penulis blog boleh dibenarkan menyiarkan rencana dan artikel mereka dengan bebas di laman web, tetapi mereka tidak harus mencabar kewibawaan Kerajaan atau menyiarkan berita-berita yang tidak benar yang mungkin menjejaskan keselamatan negara. Manakala Kerajaan harus mengendalikan isu sedemikian dengan cara yang lembut dan bukan dengan kuasa keras kerana tindakan tegas sebaliknya akan mencetuskan banyak lagi suara bantahan dan ketidakpuasan daripada mereka.
5. Akhbar Kwong Wah Yit Poh dalam laporan yang bertajuk “Kebebasan Media Elektronik" melaporkan Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan, Datuk Dr Toh Kin Woon berkata, daripada penahanan Nathaniel Tan baru-baru ini dan tindakan UMNO menggesa polis supaya mengambil tindakan terhadap "Malaysia Today”, jelas menunjukkan bahawa pembaca dan penulis laman web yang membangkitkan pandangan tidak sama itu semakin dikenakan tekanan.
Kerajaan memberi jaminan untuk membenarkan kebebasan media elektronik bagi menjayakan rancangan Koridor Raya Multimedia (MSC) tetapi tindakan yang diambil baru-baru ini menunjukkan ia telah bertentangan janji-janji sebelumnya, tegas beliau.
6. Nanyang Siang Pau dalam artikel bertajuk “Parlimen Bantah Laman Blog” melaporkan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Parlimen Malaysia ingin menjadi Parlimen pertama di dunia yang membantah laman blog. Amaran Kerajaan terhadap pemilik laman blog membuktikan Kerajaan tidak dapat merealisasikan janjinya pada pilihan raya umum 2004 untuk menjadi Kerajaan yang bersikap terbuka, bertanggungjawab dan telus dalam pentadbiran negara.
7. Sehubungan itu, Nanyang Siang Pau dalam artikel bertajuk “Peluang Berucap Disekat” melaporkan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua berkata Kerajaan sedang mencari peluang mengambil tindakan terhadap media elektronik serta menghapuskan ruang berucap sebelum pilihan raya umum. Partinya terpaksa membuat laporan melalui Internet kerana permit untuk menerbitkan majalah tidak diluluskan. Sekarang Kerajaan pula ingin mengambil tindakan terhadap laman blog.
8. Sementara itu, Sin Chew Daily dalam berita bertajuk “Tindakan Kerajaan Untuk Jejas Operasi Media Laman Web” melaporkan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua percaya pihak polis menggunakan cara yang digunakan terhadap Nathaniel Tan untuk melayan Raja Petra bertujuan menjejaskan operasi media laman web dan PKR akan memberi sokongan penuh kepada Raja Petra. Pada masa yang sama, beliau percaya pilihan raya umum semakin dekat.
8. Sin Chew Daily dalam berita bertajuk“Tindakan Terhadap Penulis Blog Tidak Harus Keterlaluan” melaporkan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Dr Wee Ka Seong menganggap tindakan untuk menarik balik kewarganegaraan terhadap penulis blog adalah keterlaluan. Katanya, Kerajaan perlu mengendalikan maklumat yang tidak tepat disiarkan di dalam laman web dengan rasional dan berkomunikasi dengan penulis blog serta membekalkan pandangan yang baik untuk mengelakkan disiminasi maklumat yang bersifat negatif di laman web.
9.
Sin Chew Daily dalam laporan bertajuk
“Tindakan Kerajaan Cetus Ketakutan Putih” melaporkan Timbalan Pengerusi Persekutuan Blog, Ooi Chuan Aun berkata, selagi penulis blog bertanggungjawab dan menulis rencana berdasarkan fakta, mereka tidak perlu berasa takut.
Menurut beliau, Kerajaan tidak boleh menafikan semua penulis blog beroperasi secara negatif. Katanya, mengisytiharkan perang terhadap penulis blog menunjukkan Kerajaan menggunakan kuasa keras bagi menyekat ruang kebebasan menulis rencana di dalam laman web. Perbuatan sedemikian dianggap akan mencetuskan 'ketakutan putih'.
10. Sin Chew Daily dalam laporan bertajuk "Tindakan Terhadap Penulis Blog Mungkin Cetus Bantahan” melaporkan Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP, Tony Phua berkata, Kerajaan mengisytiharkan perang terhadap penulis blog mungkin akan mencetuskan bantahan dan ketidakpuasan hati orang ramai.
Tony Phua berkata, sekiranya penulis blog sering menyiarkan rencana dan artikel yang tidak benar di laman web, Kerajaan boleh menyiasat dan kemudian mendakwa mereka memfitnah. Kerajaan tidak perlu mengambil tindakan secara keras terhadap mereka.
11. Sehubungan itu, Nanyang Siang Pau dalam laporan bertajuk“Hormati Hak Asasi Manusia” melaporkan Pusat Media Bebas membantah tindakan Kerajaan untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri bagi menutup mulut pemilik blog yang aktif. Pusat itu menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri menarik balik amarannya terhadap para pemilik blog serta menghormati hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.
12. Dalam laporan bertajuk“Tidak Perlu Guna ISA Terhadap Pemilik Blog”, Nanyang Siang Pau melaporkan Naib Presiden Majlis Peguam Malaysia berkata, Malaysia mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap perbuatan fitnah dan kenyataan palsu melalui laman blog. Pengguna Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak diperlukan untuk menangani penyalahgunaan laman blog.
13. Sementara itu, Nanyang Siang Pau dalam laporan bertajuk“Reaksi Terhadap Kawalan Laman Blog”melaporkan pemilik laman blog pada keseluruhannya berpendapat amaran Kerajaan untuk mengambil tindakan keras terhadap pemilik blog tidak bertanggungjawab bertujuan menyekat kebebasan berucap serta menutup segala kenyataan tidak membawa manfaat kepada Kerajaan.