nuffnang

Saturday, March 30, 2013

Projek Demonstrasi Hutan Tanah Gambut Negeri Pahang



Hutan Tanah Gambut merupakan satu daripada ekosistem tanah lembap yang penting di negara kita. Ianya bukan sahaja berperanan sebagai pemangkin utama kepada pembangunan sosio-ekonomi, bahkan turut menyumbang faedah-faedah tidak langsung seperti pengekalan kestabilan alam sekitar, bekalan air bersih, perlindungan hidupan liar dan pemeliharaan kepelbagaian biologi. Dari aspek alam sekitar, Malaysia mengalami pengalaman yang mengerunkan di sekitar tahun 1997-98. 

Negara pada masa itu dilanda keadaan jerebu yang amat buruk kerana ianya melibatkan kawasan merentasi sempadan (transboundary haze pollution) negara ASEAN di mana ianya telah mengganggu aktiviti kehidupan harian. Kejadian jerebu ini  berpunca dari pembakaran berleluasa tanpa kawalan tanah gambut yang dijalankan di negara jiran. Bagi mengatasi masalah ini, beberapa siri rundingan dan mesyuarat telah diadakan diperingkat negara ASEAN. Hasil dari rundingan ini, satu projek telah dirangka dan dilaksanakan yang dinamakan sebagai Rehabilitation and Sustainable Use of Peatlands in Southeast Asia yang kemudiannya dikenali sebagai ASEAN  Peatland Forests Project (APFP).

Objektif utama yang hendak dicapai oleh projek APFPini adalah menyokong kepada tema sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2013 iaitu “Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat”. Tema ini mengajak untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap betapa pentingnya aktiviti pemuliharaan dan pengurusan tanah gambut di Malaysia dijalankan secara berkekalan melalui peningkatan keupayaan, pencegahan dan kawalan kebakaran serta penubuhan petak demonstrasi pengurusan tanah gambut. Hutan Simpan Raja Musa di negeri Selangor telah dipilih sebagai tapak projek perintis di bawah program APFP ini manakala Negeri Pahang pula telah dipilih sebagai tapak projek demontrasi pengurusan hutan APFP selain daripada beberapa plot lagi di Negeri Sabah dan Sarawak.

Pada masa ini, Negeri Pahang mempunyai keluasan hutan tanah gambut seluas 140,830 hektar iaitu kawasan hutan tanah gambut yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Daripada jumlah itu, seluas 96,121 hektar ataupun 68 peratus keluasan hutan tanah gambut di negeri Pahang dijadikan kawasan projek demonstrasi APFP di Negeri Pahang yang terletak di Daerah Pekan ataupun dikenali sebagai South East Pahang Peat Swamp Forest (SEPPSF). Kawasan ini meliputi empat (4) kawasan Hutan Simpanan (HS) utama iaitu HS Pekan, HS Nenasi, HS Kedondong dan HS Resak.  Manakala 32 peratus kawasan hutan tanah gambut di negeri Pahang selebihnya diurus di bawah Pengurusan Hutan Secara Berkekalan ataupun Sustainable Forest Management (SFM). Kejayaan ini adalah hasil komitmen dan usaha murni Kerajaan Negeri Pahang dalam memulih ara khazanah hutan tanah gambut untuk dimanfaatkan oleh generasihari ini dan akan datang disamping menjamin kelestarian pengekalan kestabilan alam sekitar.

Pelaksanaan Projek APFP melibatkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sebagai National Project Executing Agency dengan khidmat nasihat Global Environment Centre(GEC) selaku Regional Project Executing Agency. GEC juga selaku Malaysia National Expert. Projek APFP ini dipantau dan diselia oleh pihak Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia. Di antara kejayaan besar projek APFP ialah wujudnya Pelan Tindakan Tanah Gambut Kebangsaan (National Action Plan for Peatlands) yang telah diterimapakai oleh Kabinet Malaysia pada bulan Mei 2011 dan telah dilaksanakan oleh pelbagai stakeholders dan dipantau kemajuan pelaksanaannya oleh pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE).

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sebagai sebuah Agensi Kerajaan yang dipertanggungjawabkan dalam mentadbir, menguruskan dan membangunkan sumber hutan di negara ini. Jabatan ini mempunyai agenda besar bagi melindungi alam sekitar dan memelihara kepelbagian hayat serta sumber genetiknya dalam Hutan Simpanan Kekal agar ianya terus dilindungi, dipelihara dan diuruskan secara terbaik. Ini termasuklah mewartakan kawasan hutan sebagai kawasan Hutan Simpanan Kekal bagi menambahkan lagi bank biodiversitinya selaras dengan komitmen negara bagi mengekalkan 50 peratus kawasan berhutan di negara ini menjelang tahun 2020. 

Pada masa ini, Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung Malaysia adalah seluas 4.7 jutahektar. Daripada jumlah ini, seluas lebih kurang 2.09 juta hektar merupakan Hutan Perlindungan yang berfungsi sebagai kawalan sumber air, pemeliharaan biologi dan kestabilan alam sekitar manakala selebihnya, adalah Hutan Pengeluaran. Pencapaian ini adalah disumbangkan oleh sokongan dan kerjasama erat daripada setiap Kerajaan Negeri khususnya dalam pemeliharaan dan pemuliharaan sumber hutan ini untuk dinikmati oleh generasi hari ini dan akan datang.

Negeri Pahang amat bertuah kerana dianugerahkan dengan kepelbagaian jenis-jenis hutannya iaitu Hutan Paya Laut, Hutan Tanah Darat termasuklah Hutan Tanah Gambut yang menjadi habitat spesisfik bagi setiap spesies flora dan fauna. Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 di Kampus Universiti Malaysia Pahang, Pekan di mana di sinilah terletaknya kawasan Hutan Tanah Gambut yang terbesar di Semenanjung Malaysia mencerminkan komitmen jitu jabatan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan hutan tanah lembap khususnya yang terdapat di Negeri Pahang bumi bertuah ini.

Bagi membendung kejadian kebakaran yang berpunca daripada aktiviti tanpa kawalan pada masa akan datang, Jabatan Perhutanan akan terus mempergiatkan penganjuran beberapa aktiviti yang melibatkan ceramah dan kempen kesedaran awam yang dijalankan kepada kumpulan sasar terutama mereka yang tinggal berjiran dengan kawasan hutan gambut. Kempen kesedaran ini diharap akan dapat mempertingkatkan tahap kefahaman dan kesedaran masyarakat  agar mereka yang terlibat akan lebih perihatin untuk menjaga dan memastikan hutan dan kepentingan akan terus terjamin bagi keperluan mereka secara berkekalan. Melalui penglibatan dan kerjasama dari pelbagai jabatan, agensi kerajaan, NGO dan komuniti tempatan dijangka dapatlah mengurangkan kejadian pencerobohan haram kawasan hutan gambut dan aktiviti berleluasa pembakaran hutan secara terbuka.

Selain itu, aktiviti-aktiviti pemulihan kawasan hutan bagi kawasan yang telah terbakar juga akan terus dijalankan seperti membina menara tinjau, check-dam dan tube well di kawasan terbakar hasil kerjasama Jabatan Perhutanan dengan agensi-agensi lain. Sehingga tahun 2012 dengan dana di bawah seliaan Jabatan Alam Sekitar, sebanyak 32 check-damtelah dibina oleh Jabatan Parit dan Saliran,3 buah menara tinjau telah dibina oleh Jabatan Perhutanan dan sebanyak 8 tube well telah dibina oleh Jabatan Mineral dan Geosains di dalam kawasan tanah gambut di Negeri Pahang.Pembinaan infrastruktur ini dapat membantu usaha bagi memantau kejadian kebakaran tanah gambut, mengekalkan paras air gambut, menghalang keluar pengaliran air gambut secara berterusan dan membekalkan air yang mencukupi kepada kawasan tanah gambut terutamanya ketika musim kemarau panjang berlaku.

Tindakan strategik telah digubal secara bersepadu di antara agensi Kerajaan di peringkat Pusat, Negeri dan Daerah yang terlibat secara langsung dalam usaha mencegah dan mengawal kebakaran tanah gambut dengan mengambil kira aspek-aspek berikut agar setiap tindakan yang dilaksanakan mencapai matlamatnya iaitu:

·                    kerjasama dan komunikasi yang baik di antara agensi yang terlibat;
·    tindakan awal pemadaman bagi kebakaran kecil yang dikesan dilakukan untuk mengelakkan kebakaran dari merebak;
·         pemantauan secara darat, udara dan FDRS/hotspots di kawasan yang mudah terbakardipertingkatkan terutamanya semasa musim panas dan kering; dan
·              setiap infrastruktur yang dibina di tanah gambut yang mudah terbakar digunakan secara optimum.

No comments:

Nuffnang