nuffnang

Sunday, December 11, 2011

MAJLIS PENUTUPAN PERSIDANGAN PERHUTANAN MALAYSIA KE-16

UCAPAN PENUTUPAN YBHG. DATO’ ZOAL AZHA BIN YUSOF, KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR MALAYSIA SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN PERSIDANGAN PERHUTANAN MALAYSIA KE-16 PADA 9 DISEMBER 2011, MELAKA, DISAMPAIKAN OLEH DATO' DR. HJ ABD RAHMAN BIN HJ ABD RAHIM, KETUA PENGARAH JABATAN PERHUTANAN SEMENANJUNG MALAYSIA.

Sukacita saya memaklumkan bahawa saya telah diamanahkan oleh Y.Bhg. Dato’ Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) untuk mewakili dan membacakan teks ucapan beliau bagi Majlis Penutup Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-16 pada hari ini. Ini adalah memandangkan bahawa Y.Bhg. Dato’ KSU NRE pada masa dan hari yang sama perlu berada di Putrajaya bagi menghadiri satu mesyuarat penting yang melibatkan pengurusan tertinggi dalam perkhidmatan.

Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur Persidangan di atas penghormatan yang diberikan untuk saya hadir bagi merasmikan Majlis Penutupan Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-16 ini. Saya amat gembira kerana dapat hadir bersama-sama dengan Y.Bhg. Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan bagi meraikan satu peristiwa yang amat signifikan dalam rangka negara menuju ke arah merealisasikan matlamat pengurusan hutan secara berkekalan khazanah hijau negara yang cukup bernilai lagi penting ini.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta dan pemerhati persidangan di atas komitmen tinggi kerana telah berjaya mengikuti sepenuhnya program Persidangan yang telah bermula pada 5 Disember 2011 hinggalah ke 9 Disember 2011. Saya telah dimaklumkan bahawa Persidangan kali ini telah berjaya menarik penyertaan sejumlah hampir 300 orang peserta dan pemerhati yang terdiri daripada pegawai kerajaan, wakil-wakil syarikat swasta, ahli-ahli penyelidik dan akademik dan juga wakil-wakil badan bukan kerajaan dari Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung Malaysia. Syabas saya ucapkan.

Saya juga amat yakin bahawa semangat dan kesungguhan yang sebegini sememanglah merupakan landasan yang cukup kukuh dan mantap untuk membawa negara kita ke tahap pencapaian yang lebih cemerlang terutamanya dalam bidang pengurusan, pembangunan dan pemuliharaan warisan sumber hutan negara.

Y.Bhg. Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian, saya difahamkan bahawa Persidangan kali ini telah dikendalikan dalam 6 Sesi Pleno termasuklah lawatan luar semasa persidangan pada 7 Disember 2011. Secara keseluruhannya sebanyak 36 kertas kerja dan 18 poster telahpun berjaya dibentangkan. Saya turut dimaklumkan bahawa perbincangan rancak dan hangat telah menyusuli setiap pembentangan kertas kerja.

Untuk maksud ini, saya mengucapkan tahniah kepada semua pembentang kertas kerja dan poster di atas inisiatif ikhlas dan kesudian untuk berkongsi pengalaman yang pada hemat saya tidak ternilai kepentingannya. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengerusi sesi pleno kerana telah berjaya memandu dan mengelola para hadirin agar setiap perbincangan diadakan secara berfokus dan berkesan.

Di samping itu, sesetengah peserta dan pemerhati telahpun menyertai lawatan luar semasa persidangan. Saya telah dimaklumkan bahawa 5 destinasi lawatan luar telah disediakan, iaitu lawatan ke Kilang Perabot Poh Huat Resources Holding Sdn Bhd dan Taman Nasuha Herba dan Rempah Karya Sdn Bhd di Negeri Johor; Hutan Bakau Sg Linggi dan Pusat Eco Edutourism Sg Menyala di Negeri Sembilan dan Taman Botani Negara Hutan Simpan Bukit Cherakah dan Kelip-Kelip Kampung Kuantan di Negeri Selangor.

Selain daripada itu, satu program khas penanaman bakau bersama masyarakat tempatan turut diaturkan di Port Dickson, Negeri Sembilan. Lawatan luar ini amatlah berbeda dan luas bidangnya. Saya percaya bahawa lawatan ke destinasi yang telah diatur tersebut telah dapat menambah pengetahuan dan pengalaman semua.

Memandangkan hal sedemikian, saya amat yakin bahawa matlamat perkongsian maklumat dan pengalaman serta pertukaran fikiran telah tercapai. Ia juga telah membuahkan banyak pendekatan baru dan menjadi asas dan pemangkin untuk Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak, Sarawak Forestry Corporation dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia untuk memantapkan lagi amalan pengurusan dan pemuliharaan hutan sedia ada, sejajar dengan prinsip continuous improvement yang amat penting bagi memastikan sektor perhutanan kekal relevan di masa-masa yang akan datang.

Persidangan kali ini mengutamakan aspek sosial dalam perhutanan di mana “Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat (Forests For Community Livelihood)” telah dipilih sebagai tema persidangan ini. Berdasarkan perbincangan ringkas saya dengan ketua-ketua delegasi dan beberapa orang peserta persidangan, saya telah mendapati bahawa topik-topik yang dibincangkan di bawah setiap sesi pleno sememangnya menepati tema yang ditetapkan.

Saya amat tertarik dan menyokong penuh saranan Y.B. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia semasa ucapan beliau di Majlis Perasmian Persidangan pada 5 Disember 2011 bahawa hutan akan terus memainkan peranan untuk menjaga kesejahteraan hidup manusia sejagat melalui penghasilan pelbagai produk dan perkhidmatan hutan.

Di kesempatan ini, izinkan saya mengulangi sekali lagi bahawa Kerajaan Malaysia adalah komited dan akan terus komited untuk menguruskan sumber hutan negara berlandaskan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management) dan amalan good forest practices.

Saya juga tertarik hati dengan pembentangan maklumbalas kemajuan pelaksanaan Resolusi Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-15 oleh ketua-ketua delegasi dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia semasa Sesi Tertutup pada 5 Disember 2011. Pembentangan oleh ketua-ketua delegasi ini amatlah bermakna kerana ia telah menunjukkan secara jelasnya sikap serius dan kesungguhan yang diberikan oleh setiap delegasi terhadap Resolusi Persidangan yang ditetapkan. Ia juga merupakan satu bentuk ‘report card’ pelaksanaan resolusi oleh setiap ketua delegasi berkaitan pelaksaan dan pencapaian yang direalisasikan semenjak resolusi diluluskan pada tahun 2008.

Pelaporan sebegini, pada hemat saya, amatlah penting kerana ia menunjukkan akauntabiliti dan meningkatkan ketelusan pengurusan dan pentadbiran setiap jabatan dan agensi hutan yang sekaligus akan meningkatkan imej jabatan dan agensi berkaitan di kaca mata masyarakat umum, selaras dengan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan.

Dalam konteks ini, sepertimana yang dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-16 telah meluluskan Resolusinya tersendiri. Di kesempatan ini, ingin saya menyarankan supaya semua warga jabatan dan agensi hutan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia agar terus memberikan tumpuan yang serius terhadap pelaksanaan kesemua resolusi yang ditetapkan.

Ini adalah kerana resolusi yang sebaik macam manapun tidak bermakna sekiranya ia tidak dilaksanakan ataupun tidak digunakan sebagai rujukan dan panduan dalam pentadbiran, pengurusan dan pembangunan sumber hutan negara yang diamanahkan. Bagai kata pepatah “the taste of the pudding is in the eating”, saya berharap aspek pelaksanaannya akan diutamakan oleh kesemua jabatan dan agensi hutan yang berkaitan.

Hutan merupakan kurniaan dan anugerah tuhan untuk kesejahteraan manusia sejagat. Oleh yang demikian, saya pegang teguh bahawa sudah tiba masanya para ahli rimbawan memberi pertimbangan yang saksama kepada kepentingan ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam membuat perancangan untuk pengurusan, pembangunan dan kegunaan sumber hutan yang amat bernilai ini.

Pendekatan ini sememangnya juga adalah sejajar dengan prinsip pembangunan mapan ataupun sustainable development. Saya sekali lagi menyeru para rimbawan agar mengambil pendekatan secara konsultatif dengan mengambil kira pandangan dan cadangan daripada masyarakat sivil dan komuniti setempat dalam mengurus dan membangunkan sumber hutan supaya nilai-nilai budaya dan hak kegunaan masyarakat yang berkenaan tidak terhakis atau terancam.

Dalam hubungan ini, kejayaan Malaysia dalam mengekalkan lebih 56% daripada keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan adalah amat membanggakan. Pencapaian ini merupakan hasil daripada kerjasama sedia terjalin dan erat di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan-kerajaan Negeri.

Dalam konteks ini, kerjasama erat di antara kesemua jabatan dan agensi hutan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia amatlah penting dan kritikal bagi memastikan khazanah hutan negara dapat terus terpelihara dan berfungsi untuk manfaat kita semua secara berpanjangan. Ke arah ini, ingin saya menyarankan agar perjumpaan secara tahunan di antara jabatan dan agensi hutan ini diwujudkan supaya kemajuan pelaksanaan resolusi persidangan dapat dilapor dan dipertingkatkan.

Pada waktu yang sama, isu-isu hutan di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa juga boleh dibincangkan agar pendirian bersama dapat dipupuk dan dipersetujui. Insyallah!

Akhir sekali saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Jabatan Perhutanan Semenanung Malaysia selaku penganjur di atas kejayaan mengadakan Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-16 secara berjaya dan cemerlang. Ucapan terima kasih juga saya sampaikan kepada Kerajaan Negeri Melaka yang sudi menjadi tuan rumah persidangan kali ini serta bantuan yang telahpun diberikan bagi menjayakan persidangan kali ini. Semoga usaha tersebut mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Ucapan terima kasih juga saya rakamkan kepada pengucaptama, pengerusi sesi pleno, pembentang-pembentang kertas kerja dan poster, para peserta dari jabatan dan agensi hutan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Tanpa sokongan padu ini semestinya persidangan tidak dapat diadakan secara lancar serta menepati objektif yang ditetapkan.


No comments:

Nuffnang