nuffnang

Friday, December 9, 2011

Malaysia Berupaya Kekal 56.4 Peratus Tanah Berhutan

05 Disember, 2011 19:45 PM

Malaysia Berupaya Kekal 56.4 Peratus Tanah Berhutan

MELAKA, 5 Dis (Bernama) -- Malaysia sehingga kini berupaya mengekalkan sejumlah 56.4 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai tanah berhutan, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Unggah Embas.

Beliau berkata peratusan itu merupakan satu pencapaian yang patut dibanggakan kerana banyak negara tidak berupaya berbuat demikian kerana kebanyakan hutan mereka telah dibuka untuk pembangunan infrastruktur yang berlebihan.

Kejayaan tersebut amat besar maknanya kerana Malaysia masih merupakan sebuah negara yang membangun di mana pembangunan dan pertukaran kegunaan tanah hutan kepada kegunaan lain sentiasa berlaku, katanya semasa berucap pada majlis perasmian Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-16 di sini, hari Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya Tan Sri Panglima Joseph Kurup.

Douglas berkata tanah berhutan sentiasa dijadikan bank tanah (land bank) untuk pelbagai projek pembangunan bagi membolehkan Malaysia terus maju.

Beliau berkata cabaran penting dalam pengurusan hutan hari ini adalah mengimbangi persaingan dan pelbagai gunaan tanah untuk aktiviti perhutanan.

Katanya hutan bukan lagi hanya sebagai pengeluar satu produk, tetapi perkhidmatannya amat penting dalam menghasilkan udara dan air bersih serta sebagai penyerap karbon dioksida dan pembasmi kesan rumah hijau.

Douglas berkata kerajaan akan terus komited dalam Pengurusan Hutan Mampan dan amalan hutan yang baik untuk kesejahteraan hidup melalui pengeluaran pelbagai produk dan perkhidmatan hutan.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang merasmikan persidangan tersebut berkata Melaka telah mewartakan kawasan berhutan seluas 5,327 hektar iaitu kira-kira 3.2 peratus dari keluasan tanah negeri ini sebagai hutan simpan kekal.

"Usaha ini diambil atas komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pengekalan kawasan berhutan bagi menyediakan sumber alam sekitar yang bersih dan pemeliharaan kepelbagaian biodiversiti untuk kesejahteraan hidup rakyat," katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri Datuk R. Perumal.

Berkata Melaka akan terus mempertingkatkan usaha menanam pokok sehingga mencapai sasaran menyamai jumlah penduduk negeri ini.

"Melaka juga terlibat aktif dalam program penanaman pokok bakau dan spesies yang sesuai di persisiran pantai sejak 2005 dan sehingga kini sebanyak 17,250 pokok telah ditanam," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Nuffnang